Ambil berat mengenai sistem penghadaman

Leave a Comment
MASALAH berkenaan penghadaman adalah perkara biasa. Malah, kajian komuniti menunjukkan bahawa seramai 53 peratus daripada masyarakat umum pernah mengalami masalah seperti perut kembung, dispepsia dan sembelit pada sesuatu ketika.

Masalah penghadaman boleh menjejaskan kehidupan dalam pelbagai cara, sama ada sebagai masalah yang menjengkelkan atau merosakkan kehidupan harian atau sebagai simptom kepada masalah perubatan yang lebih serius.

Oleh itu, kesihatan penghadaman tidak harus diperlekehkan. Sekurang-kurangnya, kita boleh memperbaiki kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan diri.

Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengamalkan tabiat pemakanan yang memudaratkan sistem penghadaman, seperti jadual pemakanan yang tidak tetap dan mengambil makanan dengan kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi.

Mereka turut tidak mengendahkan tanda-tanda amaran seperti penurunan berat badan dan kurang selera makan.

Satu lagi amalan merbahaya yang harus ditinggalkan ialah pengambilan ubat-ubatan atau suplemen untuk meningkatkan selera makan kerana sehingga kini, ubat-ubat begini yang selamat dan terbukti berkesan masih tidak didapati di pasaran.

Apa itu penghadaman?

Untuk lebih mengenali kesihatan penghadaman, anda perlu memahami proses penghadaman terlebih dahulu.

Penghadaman merupakan suatu proses rumit yang melibatkan penukaran makanan yang anda makan kepada nutrien yang digunakan oleh tubuh untuk penghasilan tenaga, pertumbuhan dan membaik pulih sel dalam kehidupan harian.

Proses penghadaman juga melibatkan penghasilan sisa buangan. Sistem penghadaman bermula di mulut dan berakhir di dubur, dan melibatkan pelbagai organ serta bahagian tubuh termasuk mulut, esofagus, perut, hati, hempedu, pankreas dan usus.

Masalah lazim Sistem penghadaman kita bekerja keras setiap hari, dan bagi sesetengah orang, mereka mengalami ketidakselesaan setiap hari.

Masalah biasa termasuk dispepsia – perasaan kenyang ketika makan, kembung selepas makan, atau rasa sakit atau pedih di bahagian atas abdomen; gastro-esofageal reflux (GERD), keadaan fizikal di mana asid daripada perut masuk kembali ke dalam esofagus (saluran pemakanan dalam tengkuk); serta sembelit.

Punca masalah-masalah ini adalah pelbagai, termasuk masalah fizikal seperti injap antara esofagus dan perut yang tidak berfungsi dengan baik, lalu menyebabkan pengaliran asid perut ke atas; dan pencetus seperti ubatubatan dan kehadiran bakteria seperti Helicobacter pylori (H. pylori); atau kekurangan minum air dan pengambilan makanan berserat.

Selain itu, terdapat penyakit sistem penghadaman lazim lain di Malaysia yang harus diberi perhatian. Ini termasuk Sindrom Kerengsaan Usus Besar (IBS), keadaan yang berlaku apabila otot di usus tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan pelbagai masalah sampingan seperti sembelit yang kronik berselang-seli dengan ciritbirit, angin, kembung perut, sakit perut dan perasaan tidak puas membuang air besar; hemaroid atau buasir – bengkak di sekeliling atau bahagian dalam rektum atau dubur yang mengandungi saluran darah yang kembang; penyakit keradangan usus seperti penyakit Crohn dan Kolitis Ulseratif di mana sistem imun berlawan tubuh kita sendiri, mengakibatkan keradangan kronik, parut dan sumbat; luka atau ulser peptik yang menyakitkan di lapisan sekeliling perut atau bahagian permulaan usus; dan ketidakhadaman laktosa yang menyebabkan perut berasa tidak selesa, kembung dan bergas, serta mual dan cirit-birit 30 minit setelah mengambil makanan atau minuman yang mengandungi bahan tenusu.

Satu lagi keadaan amat serius yang juga dianggap sebagai penyakit sistem penghadaman yang biasa adalah kanser kolon, kanser yang kedua tertinggi bilangan penghidapnya di kalangan rakyat Malaysia dengan risiko seumur hidup 1/40 di kalangan kaum lelaki dan
1/60 di kalangan kaum wanita.

Simptom kanser kolon termasuk kehadiran darah dalam najis, pendarahan dari dubur, penurunan berat badan secara mendadak, dan dalam kes yang teruk, usus tersumbat yang menyebabkan sakit perut yang amat dahsyat serta muntah.

Seperti kebanyakan kanser lain, kita dinasihati menurunkan risiko sebanyak mungkin, dalam kes ini, mengurangkan pemakanan daging merah dan diproses, bersenam dan memastikan berat badan di dalam lingkungan yang sihat, tidak merokok dan tidak minum alkohol
secara berlebihan, serta menjalani saringan supaya dapat kesan awal.

Menangani kesihatan penghadaman

Masalah penghadaman boleh dikurangkan dengan menjaga pemakanan kita. Dalam banyak kes, pengurangan pengambilan kopi, teh, coklat, minuman berkarbonat, makanan pedas dan berlemak, alkohol, barangan tenusu dan tomato, yang boleh memburukkan atau mencetus refluks, dispepsia dan ketidakhadaman laktosa, adalah disarankan.

Pemakanan hidangan yang lebih kecil dan makan secara perlahan boleh membantu, di samping berjalan-jalan setelah makan.

Penambahan cecair dan serat boleh menghindari sembelit, manakala mengelakkan makanan dan keadaan yang mencetuskan kerengsaan boleh membantu melegakan Sindrom Kerengsaan Usus Besar (IBS).

Selain merawat penyakit seperti ulser peptik dan buasir, usaha mencegah juga penting.

Pencegahan buasir termasuk menangani masalah sembelit, manakala perubahan gaya hidup boleh menghindari ulser peptik.

Untuk penyakit kronik seperti penyakit Crohn dan Kolitis Ulseratif, anda harus merujuk kepada doktor pakar untuk mendapatkan nasihat dan terdapat ubatubatan yang boleh membantu.

Untuk penyakit serius seperti kanser kolon, berhenti merokok adalah faktor paling penting untuk mengurangkan risiko.

Bersenam dan mengamalkan pemakanan rendah-lemak, tinggi-serat termasuk lima hidangan buah-buahan dan sayuran setiap hari disyorkan kerana mungkin mengurangkan risiko.

Seperti juga kebanyakan penyakit lain, saringan kesihatan dapat mengesan kanser kolon pada peringkat awal, ketika ia masih boleh dirawat dengan berkesan.

Jalani pemeriksaan doktor berkala, termasuk pemeriksaan rektal, ujian darah faecal occult (pendarahan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dalam najis), serta ujian saringan yang lain seperti enema barium, sigmoidoskopi fleksibel atau kolonoskopi.

Jenis saringan yang disyorkan bergantung kepada risiko individu terhadap kanser kolorektal.

Ketahui sejarah perubatan keluarga anda kerana kajian menunjukkan kanser kolon lebih kerap dikesan di kalangan anggota sesebuah keluarga yang sama.

Simptom penyakit serius

Kadangkala, simptom yang seakan masalah penghadaman mungkin merupakan masalah lain yang tidak berkenaan.

Contohnya, perasaan pedih di dada setelah makan makanan yang banyak mungkin merupakan pedih ulu hati, tetapi kesakitan di dada itu mungkin disebabkan kekurangan pengaliran darah ke jantung (angina) ataupun serangan jantung.

Terdapat banyak keadaan yang mungkin menyerupai kesakitan dada seperti kekejangan otot dalam esofagus atau kesakitan dalam pundi hempedu.

Seperkara lagi yang harus diberi perhatian ialah kehadiran darah dalam najis – ia mungkin menandakan penyakit divertikular, luka di dubur, kolitis, angiodisplasia (saluran darah tidak normal dalam saluran penghadaman), ulser peptik, polips atau kanser dan buasir. Anda harus merujuk nasihat doktor pada kali pertama anda menjumpai darah dalam najis anda.

Persepsi umum yang salah Seperti juga pelbagai hal berkaitan kesihatan, terdapat juga berbagai salah tanggapan umum terhadap kesihatan penghadaman.

Ini termasuk menganggap semua pendarahan dari dubur sebagai buasir walaupun ada kemungkinan ianya kanser kolon, kepercayaan bahawa nyahtoksik diperlukan untuk usus yang bersih dan sihat, kepercayaan bahawa suplemen kesihatan penghadaman seperti
suplemen serat dan probiotik adalah lebih berkhasiat dan bermanfaat berbanding makanan asal, ataupun bahawa pembuangan air besar yang kerap bermaksud membuang air besar sekali setiap hari sekurang-kurangnya.

Amaran praktikal

Walaupun masalah penghadaman adalah perkara biasa, kadang-kadang kita di saran mendapatkan nasihat doktor dengan segera.

Amalan yang paling baik ialah mendapatkan nasihat doktor jika simptom anda berterusan, berlaku untuk kali pertama, dan mengganggu kehidupan harian anda.

Kita juga disyorkan supaya mendapatkan nasihat perubatan seawal mungkin jika mengalami simptom yang membimbangkan seperti makanan sering tersangkut ketika menelan, penurunan berat badan yang mendadak, kehilangan selera makan yang ketara, dan kehadiran darah dalam najis untuk kali pertama, kerana simptom demikian mungkin adalah amaran bahawa anda mengalami masalah lebih serius.

Datuk Dr Chua Tee Joo,
Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi,
Pusat Perubatan Sunway

-Sinarharian

0 comments:

Post a Comment