Pembesaran prostat, masalah lelaki

Leave a Comment

PEMBESARAN prostat atau Benign prostatic hyperplasia (BPH) dikatakan merupakan masalah kesihatan normal yang berlaku pada golongan lelaki akibat proses penuaan.

Dianggarkan 90 peratus lelaki berumur melebihi 80 mengalami BPH.    

Aktiviti enzim 5-alpha reductase yang terlalu aktif seiring dengan proses penuaan dipercayai punca BPH. 5-alpha reductase berfungsi mengubah testosterone kepada dihydrotestosterone (DHT). Peningkatan paras DHT menyebabkan kadar reproduksi sel-sel kelenjar prostat meningkat dan seterusnya men dedahkan lelaki kepada pembesaran prostat, rambut gugur dan kanser.

Adakah BPH sejenis kanser? BPH bersifat benign (tidak berbahaya) dan ia bukan prekursor kepada kanser prostat.

Prostat merupakan organ kecil dengan saiz seperti buah berangan. Ia terletak di bawah pundi kencing di mana air kencing disimpan.

Ia mengandungi urethra (saluran kencing). Selain itu ia membina bendalir yang bergabung dengan sperma dan bendalir semen bagi membentuk bendalir ejakulasi yang dikenali sebagai air mani (semen).

Kerap buang air

Prostat yang mengembang menyebabkan urethra iaitu saluran yang menyalurkan air kencing daripada pundi kencing terhimpit atau tersepit. Saraf dalam prostat dan pundi kencing dikatakan memainkan peranan dalam menimbulkan simptom umum BPH termasuk rasa kesakitan.

Simptom BPH termasuk kerap buang air kecil, rasa hendak buang air kecil secara serta-merta, sukar untuk memulakan buang air kecil, buang air kecil secara terhenti-henti, aliran air kencing yang lemah dan pengosongan pundi kencing tidak sempurna (rasa tidak puas buang air kecil walaupun kerap buang air kecil).

Simptom lain ialah penghidap terpaksa meneran untuk memulakan buang air kecil atau memastikan air kencing dikeluarkan secara berterusan bagi mengosongkan pundi kencing, kekurangan daya aliran air kencing berkurangan (daya subjektif aliran air kencing berkurangan dari masa ke masa) dan air kencing dikeluarkan secara titisan berpunca dari aliran air kencing yang lemah.

Pembuangan air kencing yang terhalang menyebabkan penghidap sentiasa merasa untuk buang air kecil pada waktu siang dan malam.

Urethra yang tersumbat menyebabkan air kencing berkumpul dalam pundi kencing, fungsi buah pinggang terganggu, infeksi trek urinari berlaku secara berulang, darah dalam air kencing (hematuria) dan batu karang.

Masalah yang lebih besar berlaku pada penghidap BPH apabila urethra tersumbat sama sekali. Keadaan tersebut boleh mencederakan buah pinggang dan memerlukan rawatan kecemasan di hospital dengan kadar segera.

Sebahagian penghidap BPH yang boleh membuang air kencing dengan aliran air kencing kuantiti rendah pula akan berhenti buang air kecil apabila mendapati tiada lagi air kencing yang keluar setelah berminit-minit berusaha untuk buang air kecil.

Namun, beberapa minit kemudian mereka dapati seluar mereka basah. Ia kerana BPH menyebabkan air kencing tidak dapat dibuang secara sepenuhnya lalu menyebabkan ia tersimpan di dalam urethra.

Air kencing yang tersimpan tersebut kemudian dilepaskan apabila penghidap berada dalam keadaan rehat atau menjalankan aktiviti tertentu seperti menjalankan tugasan harian.    

Faktor-faktor risiko BPH menurut Mayo Clinic termasuk penuaan, sejarah keluarga, latar belakang etnik, diabetes, sakit jantung dan gaya hidup.

BPH dipercayai terbentuk secara beransur-ansur ketika seorang lelaki berumur 30an. Ia juga dikatakan jarang-jarang menimbulkan sebarang simptom pada lelaki berumur kurang dari 40.

Lebih kurang sepertiga kaum lelaki mengalami simptom sederhana ketika berumur 60 dan separuh apabila berumur 80 tahun.

Pertalian darah seperti ayah atau abang yang pernah mengalami masalah prostat dikatakan mudah untuk mengalami BPH. BPH kurang dialami oleh lelaki Asia berbanding orang putih dan etnik Afrika.

Kajian-kajian menunjukkan penghidap diabetes, penyakit jantung serta pengggunaan beta-blocker (ubatan menghalang kalsium dari masuk ke dalam sel bagi mengurangkan tekanan darah) dipercayai meningkatkan risiko BPH. Obesiti meningkatkan BPH, manakala senaman mengurangkannya.

Bagaimanakah doktor perubatan moden mendiagnosis BPH? Kaedah pemeriksaan asas yang dijalankan oleh doktor ialah menggunakan pemeriksaan dubur berdigital (digital rectal examination).

Ia dijalankan bagi mengenal pasti saiz prostat, kontor, bintil (nodule) dan kawasan di mana (sekiranya) terdapat ketumbuhan malignant (berbahaya).

Ujian-ujian makmal yang berkaitan dengan BPH termasuk  urinalysis (analisa air kencing), urine culture dan prostate-specific antigen (bagi memastikan ia benign atau malignant). Selain itu terdapat ujian bagi menguji elektrolit, urea nitrogen darah (blood urea nitrogen) dan creatinine.

Menurut Medscape, Tahap BPH dikenalpasti menggunakan International Prostate Symptom Score (IPSS)/American Urological Association Symptom Index (AUA-SI) digabungkan bersama soalan disease-specific quality of life (QOL).

Soalan AUA-SI untuk BPH melibatkan perkara termasuk pengosongan (pundi kencing) tidak lengkap, kekerapan, perkalaan gangguan (intermittency), rasa ingin buang kecil secara serta-merta (urgency), aliran air kencing lemah, peneranan dan kencing berlebihan pada waktu malam (nocturia).

Terdapat sebahagian penghidap BPH dikatakan mengalami simptom BPH tetapi masih boleh mengawalnya tanpa memerlukan intervensi ubat-ubatan atau pembedahan.

Penghidap kategori ini tidak memerlukan sebarang rawatan namun sering menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan keadaan yang mereka alami menjadi semakin buruk.

Ganggu aktiviti

Intervensi ubatan seperti menggunakan alpha-1 receptor blocker atau 5-alpha reductase inhibitor pula berlaku pada penghidap yang mengalami simptom jelas yang mengganggu aktiviti harian.

Ubat-ubatan kategori alpha-1 receptor blocker yang dikatakan biasa dipreskripsi kepada penghidap termasuk tamsulosin (Flomax) dan alfuzosin (Uroxatral). Beberapa ubatan jenis lama seperti terazosin (Hytrin), slidosin (Rapaflo) atau doxazosin (Cardura) juga dipreskripsi.

Ubat-ubatan tersebut berfungsi dengan merehatkan otot lembut prostat dan pangkal pundi kencing. Ia membantu mengembangkan urethra sempit akibat BPH.

Secara umumnya ubat-ubatan tersebut dikatakan membantu meredakan simptom dalam beberapa minggu dan tidak memberi kesan kepada saiz prostat. Kesan-kesan sampingannya termasuk sakit kepala, lesu, masalah untuk berejakulasi atau pitam.

Ubatan 5-alpha reductase inhibitor pula berfungsi menghalang enzim 5-alpha reductase dari mengubah kolesterol kepada dihydrotestosterone (DHT).

Oleh sebab DHT bertanggungjawab secara langsung dalam pembentukan BPH maka penggunaan 5-alpha reductase inhibitor dikatakan mampu membantu mengurangkan saiz prostat sebanyak 25 peratus.

Ubat-ubatan dalam kategori ini termasuk finasteride (Proscar) dan dutasteride (Avodart). Kesan sampingan 5-alpha reductase inhibitor termasuk kurang libido, disfungsi ereksi, bermasalah untuk ejakulasi kerana kekurangan semen dan payu dara membesar/mengeras. -SINARHARIAN


0 comments:

Post a Comment