Periksa sendiri tekanan darah anda

Leave a Comment

Memeriksa tekanan darah adalah sangat mudah untuk dilakukan sendiri. Selama ini mungkin anda berkunjung ke hospital atau klinik untuk memeriksa tekanan darah anda. Setiap kunjungan anda ke klinik untuk mendapatkan keputusan tekanan darah bukanlah percuma. Anda mungkin akan dikenakan sedikit bayaran untuk perkhidmatan mereka. Bukan setakat bayaran perkhidmatan, anda akan membayar tambang teksi jika tidak mempunyai kenderaan sendiri atau membeli petrol untuk kereta sendiri. Anda juga akan membuang masa pergi berkunjung ke klinik semata-mata untuk mendapatkan pemeriksaan tekanan darah. Jika pengunjung klinik ramai, masa anda berada di klinik juga akan semakin lama. Sebenarnya anda boleh berhemat malah dapat menolong seluruh anggota keluarga untuk memeriksa tekanan darah tanpa pergi berkunjung ke klinik.

Kini anda boleh memeriksa sendiri tekanan darah dan seluruh anggota keluarga anda dengan sedikit pengorbanan yang lebih bermanfaat. Anda hanya perlu membeli alat pengukur tekanan darah yang boleh di dapati di kedai farmasi di seluruh negara. Terdapat banyak jenama alat pengukur tekanan darah di pasaran seperti Omron, Guardian, Watson dan sebagainya. Harga setiap alat pengukur tekanan darah ini berbeza mengikut fungsi tambahan selain memeriksa tekanan darah. Terpulanglah kepada anda jenama yang berkenan di hati mengikut kemampuan kewangan anda dan yang pasti setiap alat mempunyai fungsi utama iaitu mengukur tekanan darah. Terdapat fungsi tambahan jenama tertentu, sebagai contoh Omron boleh menyimpan rekod atau data tekanan darah anda sebelumnya menyebabkan harga jenama ini sedikit mahal berbanding dengan Watson.

Kesedaran tentang bahaya penyakit tekanan darah tinggi telah disahut oleh pencipta peralatan pembaca tekanan darah tinggi. Kita sebagai manusia yang berisiko menghidap penyakit darah tinggi harus menghargai teknologi yang dicipta oleh pencipta pembaca tekanan darah dengan memiliki alat ini untuk kegunaan seisi keluarga. Bagi keluarga yang menyedari tentang bahaya tekanan darah tinggi tidak ketinggalan untuk memiliki alat pengukur tekanan darah. Kita tidak seharusnya bergantung kepada pemeriksaan doktor. Anda hanya berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat apabila tekanan darah anda ditahap yang membimbangkan. Anda juga boleh mengubah gaya hidup apabila tekanan darah anda berada pada keadaan yang kurang baik. Mudah bukan?

Seperti kata-kata orang bijak pandai, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Anda mungkin pernah terdengar atau terbaca tentang kes mati mengejut. Kebanyakan kes disebabkan serangan hipertensi. Kebanyakan mangsa tidak pernah mengetahui mereka sedang menghidap tekanan darah tinggi dan sentiasa beranggapan sihat . Awas..tekanan darah tinggi juga dikenali sebagai pembunuh senyap.


0 comments:

Post a Comment