Kesan pil perancang

Leave a Comment


SOALAN: 

ASSALAMUALAIKUM doktor, saya Mariam, berusia 26 tahun dan masih belum berkahwin.
Saya pernah menghidapi penyakit endometrosis. Akibatnya, saya juga pernah menjalani pembedahan laparoscopy pada September dua tahun lalu. Selepas menjalani pembedahan, doktor memberitahu endometrosis saya berada pada tahap tiga.

Saya juga sudah menjalani rawatan susulan selama enam bulan dengan mengambil suntikan leucrin .Semasa pengambilan leucrin yang keenam, doktor mengimbas dan mendapati sista saya masih ada lagi dua milimeter.

Berikutan leucrin saya sudah cukup, doktor mencadangkan saya mengambil pil perancang Yasmin pada bulan mendatang ini. Ketika ini, saya tidak ada perancangan lagi untuk berkahwin, bagaimanapun saya ingin tahu kebaikan dan keburukan pil perancang Yasmin bagi penyakit endometrosis.

Mariam

JAWAPAN:
ASSALAMUALAIKUM Cik Mariam, sebelum saya menjawab mengenai kebaikan dan keburukan pil perancang seperti Yasmin sebagai rawatan susulan penyakit endometriosis, saya harap saudari faham akan komplikasi dari penyakit itu sendiri berikutan saudari masih lagi muda dan belum berkahwin.

Endometriosis adalah penyakit kronik di mana ia boleh didapati pada kes-kes infertiliti (20 hingga 30 peratus), senggugut (40 hingga 60 peratus) dan sakit kronik pada pelvis (15 peratus).

Gejala-gejala tipikal endometriosis (selalunya kombinasi) adalah ketidaksuburan dan sakit pada bahagian pelvis yang kronik. Sakit ini boleh berbentuk senggugut setiap bulan, sakit yang konsisten setiap hari atau sakit ketika hubungan seksual. Jarang sekali mereka mengalami sakit semasa kencing atau membuang air besar.

Pada usia saudari, endometriosis mempunyai risiko berulang setinggi 30 peratus. Ini bermakna jika saudari mengalami senggugut, ia akan berlaku semula walaupun rawatan suntikan leucrin dan pil perancang keluarga sudah diberikan.

Ini adalah dilema bagi para doktor kerana kami tahu ia akan timbul semula dan rawatan yang diberi hanya untuk memperlahankan pertumbuhan endometrisosis untuk sementara waktu. Ini termasuklah berulangnya kejadian sista pada ovari.

Endometriosis sentitif pada hormon estrogen, jadi dengan memberhentikan produksi hormon estrogen dari ovari dapat melengahkan pertumbuhannya. Leucrin yang diberi menyebabkan saudari berada dalam keadaan ‘menopaus’ sementara waktu.

Suntikan leucrin dapatlah mempertahankan haid dari berlaku mungkin untuk beberapa bulan saja sehinggalah ovari-ovari saudari pulih semula. Pil perancang keluarga yang diberi dapat menghalang ovari-ovari dari berfungsi dengan menghalang benih-benih telur dari tumbuh setiap bulan. Dengan cara ini, endometriosis dapat dikawal terutama jika ia dikaitkan dengan senggugut adan kitaran haid yang tidak menentu.

Jadi, saya rasa ini pilihan yang terbaik untuk saudari sehinggalah saudari merancang untuk berkahwin dan mengandung. Pil perancang pada kes-kes endometriosis baik untuk mengurangkan senggugut, kitaran haid menjadi tepat, pendek dan sedikit.

Selain dari itu, pil perancang boleh menyerikan wajah saudari kerana hormon estrogen dan elok untuk mereka yang mempunyai masalah jerawat. Keburukannya pula adalah kecil seperti pembekuan darah pada kaki, risiko kanser payudara dan servik jika diambil dalam masa yang panjang iaitu lebih dari lima tahun.

Secara amnya, pil perancang adalah selamat kerana ia sudah berada di pasaran dan diambil berbilion wanita sebagai pil perancang.

Jadi, saudari tidak perlu melambatkan perkahwinan atau mengandung kerana endometriosis diketahui boleh merosakkan saluran peranakan dan mengganggu
ovulasi.

Info 

Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada Doktor di Berita Minggu melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.


Sumber : Bharian Online

0 comments:

Post a Comment