Apa itu buasir dan bagaimana ia terjadi?

Apa itu buasir? Mengapa buasir terjadi? Perlukah saya berjumpa dengan doktor?

Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia akan membawa masalah apabila ianya menjadi radang atau bengkak. Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Kedua-dua ini mempunyai simptom dan masalah yang berbeza.

Buasir dalaman

Merupakan salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Pesakit akan mengadu terdapat pendarahan selepas membuang najis tanpa kesakitan. Ada juga pesakit yang akan terasa seperti unjuran yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Unjuran ini mungkin hilang sendiri atau ada juga yang perlu menolak balik unjuran ini ke dalam.

Buasir luaran

Merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur (lihat gambar 1). Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Kesakitan yang dirasai seseorang itu mungkin berbeza. Ada orang yang mungkin merasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga yang merasa panas atau amat pedih. Sakit yang kuat mungkin berlaku akibat salur darah yang tersumbat oleh darah beku.

Mengapa buasir terjadi?

Buasir adalah penyakit yang sering berlaku. Ia boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira umur tetapi selalunya dilihat pada orang dewasa 30 tahun ke atas dan wanita mengandung. Ia sering dikaitkan dengan meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit. Wanita mengandung mungkin mengalami buasir kerana pembesaran janin menyebabkan tekanan ke bahagian dubur dan juga akibat perubahan hormon. Selain itu, orang yang berlebihan berat badan, berdiri dalam jangka waktu yang lama setiap hari atau selalu mengangkat benda berat mungkin menghidapi masalah ini. Kesemua keadaan tersebut menyebabkan penambahan tekanan kepada salur vena di rektum dan dubur dan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran.

Perlukah saya berjumpa dengan doktor?

Dapatkan nasihat dari doktor sekiranya anda mengalami pendarahan semasa atau selepas membuang air besar. Doktor perlu memastikan bahawa pendarahan tersebut berpunca dari buasir dan bukannya dari penyakit serius yang lain seperti kanser usus. Pemeriksaan untuk kanser usus perlu dibuat bagi mereka yang:
  • Berumur 40 tahun ke atas.
  • Mempunyai sejarah perubatan kanser usus atau ahli keluarga/ saudara yang mengalami kanser usus.
  • Mengalami sakit atau ketidakselesaan perut.
  • Mengalami pembuangan najis tidak menentu seperti selalu cirit-birit dan/atau sembelit.
  • Kurang berat badan tanpa sebab tertentu.

Apa yang boleh saya lakukan?

Ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan buasir dan mengurangkan simptomnya:
  • Elakkan sembelit
  • Lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan anda dengan memakan buah-buahan,sayur-sayuran hijau dan bijirin. Jika ingin memakan roti atau bijirin, pilihlah yang mengandungi bijiran penuh (wholemeal).
  • Lebihkan minum air, sebaik-baiknya lapan gelas sehari.
  • Lakukan senaman setiap hari.
  • Elakkan pengambilan julap yang boleh menyebabkan cirit-birit dan menerukkan lagi masalah buasir.
Anda boleh mengambil julap yang mengandungi serat tinggi seperti Fybogel yang bertujuan untuk
mengelakkan sembelit.

Mengurangkan kesakitan
  • Mandi dengan air suam untuk mengurangkan kesakitan dan kegatalan.
  • Jika terdapat pembengkakan, gunakan ais supaya bengkak surut atau duduk di dalam besen yang berisi air garam.
  • Ambil pil untuk mengurangkan sakit seperti paracetamol, aspirin, atau ibuprofen.
  • Terdapat banyak produk krim sapuan atau supositori yang berada dipasaran untuk rawatan buasir.
Kebanyakkannya tidak mempunyai bukti yang kukuh bagi keberkesanannya. Produk-produk ini mungkin boleh mengurangkan simptom tetapi penggunaan berterusan tidak digalakkan. Ini kerana ia boleh menyebabkan masalah kulit disekeliling dubur.

Bila saya perlu pembedahan/prosedur?

Selalunya buasir akan hilang/baik tanpa rawatan jika anda mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan buasir seperti di atas. Walaubagaimanapun, sekiranya ia berterusan dan mengganggu anda, dapatkan nasihat doktor.

Pembedahan/prosedur untuk rawatan buasir boleh dilakukan sama ada di klinik atau perlu kemasukan ke hospital:

Prosedur di klinik:

1. ‘Rubber band ligation’(lihat gambar 2), boleh dilakukan bagi rawatan buasir dalaman. Rawatan ini adalah sangat ringkas dimana gelung getah yang kecil dipasang dipangkal buasir menyebabkan aliran darah ke kawasan tersebut terhenti dan buasir tersebut mengecut. 'sclerotherapy’ di mana sejenis cecar contohnya Phenol disuntik ke dalam buasir tersebut menyebabkan dinding saluran vena tersebut mengecut.

Prosedur rawatan di hospital:

2. ‘Hemorrhoidectomy’ di mana pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan buasir tersebut. Pesakit yang menjalni prosedur ini mengambil masa 2-4 minggu untuk pulih. ‘Doppler guided transanal hemorrhoidal dearterialization’ di mana mesin ultrasound digunakan untuk mengenalpasti aliran darah arterial terbabit yang kemudiannya disekat. ‘stappler hemmorhoidectomy’ merupakan pembedahan untuk membuang bahagian tisu yang longgar yang menyebabkan buasir keluar dari dubur.

Bolehkah masalah buasir ini berulang?

Ya, buasir boleh berulang walaupun pembedahan telah dilakukan. Oleh itu adalah penting bagi anda untuk mengelakkan sembelit,tidak meneran semasa membuang air besar dan menggelakkan perkara-perkara lain yang boleh menyebabkan buasir seperti yang dibincangkan di atas.

Buasir bagi wanita mengandung

Buasir semasa mengandung sering bermula diperingkat akhir kandungan sehingga akhir waktu berpantang. Masalah buasir dikalangan wanita di Malaysia mungkin kerap berlaku akibat amalan berpantang. Ada amalan berpantang yang menyarankan ibu-ibu untuk mengurangkan minum air dan mengelakkan memakan buah atau sayur-sayuran tertentu. In mungkin akan mengakibatkan masalah buasir. Oleh itu, ibu-ibu dinasihatkan untuk berhati-hati ketika berpantang dan mendapatkan nasihat dan rawatan doktor sekiranya mengalami sembelit atau simptom buasir semasa tempoh berpantang.

Dr. Naemah Shariffuddin

Ini bukan saranan dari doktor tetapi diharap dapat membantu :
Sekiranya anda mempunyai buasir, tips ini mungkin boleh membantu mengurangkan penderitaan anda ; https://buy.onpay.my/order/form/kapsulbuasir/moreinfo


Mengapa sukar hamil selepas anak pertama?

ADA wanita yang menghadapi kesukaran untuk mengandung anak kedua. Pelbagai usaha telah dilakukan namun masih lagi belum berjaya. Hendak dikatakan tidak subur, mengandung anak pertama sebaik sahaja selepas diijabkabulkan. Kini, ramai wanita yang menghadapi masalah ini. Apakah punca utamanya?

1.Faktor usia

Fakta ini memainkan peranan penting dalam soal kesuburan. Kesuburan wanita akan menurun dengan peningkatan usia. Kualiti telur yang dihasilkan semakin menurun menyebabkan kesuburan wanita juga menurun. Namun, masih ada wanita yang berjaya hamil di usia 40-an. Apa pun digalakkan pasangan suami isteri tidak menangguhkan kehamilan sebaik mendirikan rumah tangga.

2.Elakkan penyakit jangkitan seksual

Penyakit seperti Chlamydia dan gonorrhea dapat merosakkan tiub fallopio wanita menyebabkan dia sukar untuk mengandung.

3.Faktor berat badan

Jangan pandang remeh dengan berat badan anda! Berat badan berlebihan atau terlalu kurus mengganggu kesuburan wanita. Berat badan yang berlebihan akan menimbulkan penyakit PCOS (polycystic ovary syndrome) yang mempengaruhi kesuburan.

4. Jauhkan rokok

Merokok memang diketahui membawa banyak kesan buruk kepada tubuh badan. Wanita yang merokok telah meningkatkan risiko mereka kepada ketidaksuburan.

5. Elakkan terdedah kepada bahan kimia berbahaya

Adakah bidang kerja anda banyak terdedah kepada radiasi dan bahan kimia berbahaya? Jika ya, anda berisiko tinggi menghadapi kesan buruk kesuburan.

Sekiranya, anda dan suami sudah setahun atau lebih mencuba untuk memiliki anak dengan cara membuat hubungan intim secara teratur tanpa perlindungan namun masih belum berjaya mengandung, segeralah berjumpa doktor sakit puan untuk pemeriksaan lanjut. Jangan membuang masa dengan hanya mengeluh!

*Artikel dipetik dari blog http://www.majalahpama.my

Diet dan nutrien untuk wanita mengandung

NUTRIEN sempurna merupakan kunci memulihara tahap kesihatan fizikal, psiko-emosi dan kerohanian cemerlang.

Terdapat perbezaan antara diet dan nutrisi atau pemakanan yang kurang diketahui sesetengah orang. Diet ialah makanan yang kita makan manakala nutrisi ialah proses pengambilan nutrien  makanan yang dimakan.

Nutrien ialah bahan yang membantu tubuh membina tenaga, membina/memulihara tisu dan mengawal pelbagai proses biokimia dalam tubuh. Umumnya, makanan berbeza memiliki kuantiti dan nilai nutrien berbeza.

Nutrien perlu (essential nutrient) ialah nutrien asas diperlukan setiap orang. Ia terbahagi enam: karbohidrat, lipid, protein, air, vitamin dan mineral. Nutrien karbohidrat, lipid dan protein merupakan sumber tenaga tubuh yang dikategorikan sebagai nutrien makro.

Biasanya tubuh memilih karbohidrat untuk menjana tenaga kerana ia paling tersedia apabila diperlukan. Lipid dan protein diperlukan untuk pembinaan dan pemuliharaan membran sel.

Asid amino daripada protein diperlukan untuk membina/memulihara transmitter (pengisyarat), reseptor, tisu penghubung, enzim, dan DNA.

Fungsi kolesterol

Kolesterol ialah sejenis lipid. Ia digunakan tubuh untuk menyangga bagi mengukuhkan membran sel. Ia ialah prekursor (bahan awal sintesis) vitamin D, bilirubin serta hormon reproduktif lelaki dan wanita. Ia bersifat antioksidan. Sebahagian besar saintis, pakar nutrisi dan doktor menganggap kolesterol sebagai nutrien tidak perlu (nonessential nutrients).

Mereka percaya pengambilan makanan mengandungi kolesterol dan lemak tepu menyebabkan peningkatan paras jumlah kolesterol dalam tubuh. Sebahagian saintis pula percaya makanan berlemak tepu tidak memberi kesan kepada paras kolesterol tubuh.

Peningkatan paras kolesterol dalam tubuh bukan berpunca daripada makanan berkolesterol tetapi daripada paras radikal bebas tinggi dalam tubuh yang akan menyerang komponen sel dan menyebabkan kerosakan misalnya pada membran sel. Kolesterol bersifat antioksidan dihantar dari hati dalam bentuk LDL untuk meneutralkan radikal bebas dan mengukuhkan membran sel. Ujian darah akan menunjukkan peningkatan paras kolesterol!

Radikal bebas tidak terkawal boleh berpunca sering makan berlebihan, banyak makanan berkarbohidrat, bergula tinggi dan stres emosi. Ia dipercayai berpunca daripada detoksifikasi terganggu misalnya banyak makan ubatan moden pada jangka panjang, kurang/tidak mengambil makanan berantioksidan dan sering makan makanan bergoreng secara terendam lama. 

Sesetengah pakar nutrisi memasukkan air ke dalam kumpulan nutrien makro kerana ia diperlukan pada jumlah besar. Terdapat juga saintis memasukkan ke dalam kategorinya yang tersendiri. Vitamin dan mineral yang tergolong dalam mikronutrien kerana ia diperlukan pada kuantiti rendah merupakan nutrien perlu yang tidak berkalori. Walaupun tidak berkalori, vitamin tertentu membantu membina tenaga. Begitu juga dengan mineral magnesium dan manganese.

Vitamin dan mineral diperlukan untuk pelbagai tindak balas biokimia. Vitamin dan mineral tertentu bertindak sebagai antioksidan dengan meneutralkan radikal bebas - mencegah kerosakan komponen sel termasuk DNA.

Beberapa dekad kebelakangan, fitokimia iaitu sebatian kimia dalam tumbuh-tumbuhan dikategorikan dalam kumpulan nutrien mikro. Pengambilan diet sesuai amat penting ketika mengandung di mana tubuh memerlukan pelbagai nutrien tambahan termasuk vitamin dan mineral.          

Seseorang wanita mengandung memerlukan antara 350-500 tambahan kalori ketika trimester kedua dan ketiga. Beberapa kajian menunjukkan kekurangan nutrien penting memberi kesan negatif kepada ibu mengandung dan pembentukan janin. Memilih makanan sihat serta nilai nutrien yang baik dikatakan boleh membantu wanita mengandung dan bayi dalam kandungan mengalami tahap kesihatan cemerlang.

Berikut beberapa makanan yang dipercayai membekal nutrien bermanfaat kepada wanita mengandung. Tahukah anda ketika mengandung, isi padu darah meningkat kepada 1.5 liter? Jadi, ibu mengandung harus minum air secukupnya untuk mengekalkan hidrasi.

Janin juga perlukan air mencukupi untuk kelancaran penerimaan dan penggunaan nutrien. Ibu mengandung yang mengalami kekurangan air mudah terdedah kepada kenaikan suhu badan melampau. Ia akan menyebabkan kerosakan tiub neuron (neural tube) dan  bayi mengalami spina bifida. 

Kajian menunjukkan kekurangan bendalir tembuni pada peringkat awal dan akhir mengandung boleh menyebabkan kerosakan janin dan keguguran. Ia juga boleh menyebabkan kesukaran melahirkan bayi.

Simptom kekurangan air tahap sederhana ialah sakit kepala, resah, lesu, mood kurang baik dan memori terganggu. Secara umum, minumlah 2 liter air sehari untuk mengekalkan hidrasi.
Wanita mengandung memerlukan protein dan kalsium tambahan yang boleh didapati dengan mengambil produk tenusu. Produk tenusu membekal dua jenis protein berkualiti iaitu casein dan dadih susu (whey). Yogurt atau susu masam pula mengandungi paras kalsium tinggi dan bakteria probiotik.

Kajian menunjukkan mengambil probiotik ketika mengandung boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi seperti preeclampsia, diabetes dan alahan. Presclampsia merujuk kepada tekanan darah tinggi kadang-kadang disertai edema dan urin tinggi protein ketika mengandung.

Kekacang dan folat

Mengambil pelbagai jenis kekacang (legumes) juga adalah langkah bijak ketika mengandung kerana kajian menunjukkan wanita mengandung kurang mengambil makanan mengandungi folat (vitamin B9). Ia membekal beberapa jenis nutrien iaitu fiber, protein, zat besi, folat dan kalsium.

Pengambilan folat ketika mengandung membantu memulihara kesihatan si ibu dan tumbesaran janin normal terutama di trimester pertama. Untuk janin/bayi, ia mengurangkan risiko kecacatan termasuk berpunca daripada kerosakan tiub neuron dan kekurangan berat. Ia juga membantu mengurangkan peluang mengalami infeksi dan penyakit selepas dilahirkan dan masa hadapan.

Berdasarkan kajian, wanita mengandung dicadangkan menambah pengambilan vitamin A sebanyak 10 – 40 peratus. Keledek kaya dengan beta karotena yang akan diurai kepada vitamin A di dalam tubuh. Vitamin A amat penting untuk proses tumbesaran.

Keledek mengandungi fiber yang membantu mudah kenyang, melambatkan pelepasan glukos (cegah diabetes) dan memperbaiki penghadaman. -Sinarharian

Manfaat Minyak Ikan

MINYAK ikan mengandungi dua jenis lemak asid poli tak tepu: asid dokosaheksanoik (docosahexanoic acid, DHA) dan asid ekosapentanoik (eicosapentanoic acid, EPA) – kedua-duanya ialah lemak asid omega-3. Ia juga mengandungi paras omega-3 yang tinggi tetapi vitamin A dan D yang rendah berbanding minyak hati ikan kod.

Ikan berminyak diuar-uarkan menawarkan manfaat kesihatan yang lebih baik berbanding ikan isi putih dengan andaian ia mengandungi paras EPA dan DHA yang tinggi. Namun, pandangan  tersebut masih belum dibuktikan secara saintifik melalui kajian melibatkan saiz penduduk besar.

Kajian yang dijalankan sejak 10 tahun lalu yang cuba mencari kaitan antara pengambilan minyak ikan dengan beberapa manfaat kesihatan menunjukkan keputusan bercampur. Sebahagian kajian menunjukkan ia dapat membantu mencegah atau meredakan masalah kesihatan manakala terdapat juga kajian yang menunjukkan keputusan neutral.

Minyak ikan dikatakan boleh membantu penghidap multiple sclerosis. Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh beberapa orang saintis penyelidik dari Hospital Universiti di Bergen, Norway pada April 2012 mendapati lemak asid tidak membantu penghidap multiple sclerosis.

Terdapat kajian menunjukkan orang lelaki yang mengambil minyak membantu menurunkan risiko kanser prostat jika ia mengamalkan diet rendah lemak. Kajian lain pula mendapati kaitan antara omega-3 dengan risiko kanser prostat jenis agresif.

Kes lemah

Kajian yang dilaporkan dalam Journal of the National Cancer Institute mendapati bahawa minyak ikan meningkatkan risiko kanser prostat. Phyllis Goodman dan rakan-rakan dari Fred Hutchinson Cancer Research Center pula melaporkan terdapat kaitan antara kepekatan EPA, DHA dan DPA (docosapentanoic acid) yang tinggi dalam tubuh dengan risiko kanser prostat gred tinggi sebanyak 71 peratus dan semua jenis kanser prostat sebanyak 43 peratus.

Kajian yang dimaksudkan berjudul Serum Phospholipid Fatty Acids and Prostate Cancer Risk: Results From the Prostate Cancer Prevention Trial terbit dalam American Journal of Epidemiology (April 24, 2011).

Saintis penyelidik kajian berpendapat bahawa asid lemak omega-3 dipercayai berubah kepada sebatian yang merosakkan sel dan DNA (penulis: serangan radikal ke atas minyak poli tak tepu menyebabkan ia bertukar kepada molekul radikal bebas) serta mengurangkan kecekapan fungsi sistem imun (immunosuppressive). Namun, penyelidik mengaku tidak mengetahui sama ada kesan tersebut memberi pengaruh kepada risiko kanser.

Kajian di atas dikritik dengan alasan ia tiada kena mengena langsung dengan pengambilan minyak ikan atau suplemen omega-3. Saintis penyelidik dikatakan sekadar mengukur paras EPA, DHA dan DPA dalam darah subjek yang mengalami dan tidak mengalami kanser prostat. Ujian mendapati subjek lelaki yang menghidap kanser prostat mengalami paras omega-3 yang tinggi dalam darah!

Pakar-pakar Mayo Clinic dalam kenyataan media berjudul Omega – 3 and Prostate Cancer: Examining the Evidence antara lain menyatakan kajian tersebut bukan kajian terkawal secara rawak. Jadi, ia tidak boleh membuktikan pengambilan suplemen minyak ikan atau minyak ikan berminyak menyebabkan kanser prostat.

Minyak ikan yang diambil ketika mengandung didapati dapat membantu wanita mengandung daripada mengalami meroyan (post-partum depression). Dr. Michelle Price Judge dari University of Connecticut School of Nursing berkata selepas menjalankan kajian pada 2011 bahawa pengambilan DHA ketika mengandung pada paras menyamai yang didapati daripada makanan berpotensi mengurangkan simtom meroyan.

Kajian sulung yang dijalankan pada 2007 mencadangkan minyak ikan boleh membantu remaja yang mengalami masalah kelakuan terutama ADHD. Kajian yang berlangsung selama lapan minggu tersebut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengambil antara 16 – 18 gram EPA dan DHA setiap hari berupayan memperbaiki kelakuan mereka (dinilai oleh ibu-bapa dan pskiatris).

Sila semak kajian berjudul Effects of an open-label pilot study with high-dose EPA/DHA concentrates on plasma phospholipids and behavior in children with attention deficit hyperactivity disorder yang terbit dalam Nutrition Journal (2007).   

Kajian berjudul Improved Working Memory but No Effect on Striatal Vesicular Monoamine Transporter Type 2 after Omega-3 Polyunsaturated Fatty Acid Supplementation yang terbit dalam jurnal PLOS One (Oktober 2012) menunjukkan pengambilan asid omega-3 (EPA dan DHA) dapat memperbaiki memori pada orang ‘dewasa muda’ (young adult: julat umur 20-39 tahun).

Sebaliknya kajian berbentuk semakan bersistematik ke atas beberapa kajian berlangsung sehingga 3.5 tahun berjudul Omega 3 fatty acid for the prevention of cognitive decline and dementia yang ditertbitkan oleh The Cochrane Library (Jun 2012) menunjukkan suplemen omega-3 tidak menawarkan sebarang manfaat kepada kesihatan kognitif berbanding pengambilan kapsul plasebo atau marjerin. Saintis penyelidik menyarankan kajian masa hadapan yang melibatkan tempoh lebih panjang.

Asid lemak omega-3 yang terdapat dalam minyak ikan boleh melindungi jantung dari stres mental. Kajian yang terbit dalam American Journal of Physiology - Regulatory, Integrative, and Comparative Physiology menunjukkan mereka yang mengambil suplemen minyak ikan melebihi sebulan mengalami stres mental yang rendah pada bacaan kesihatan kardiovaskular berbanding dengan mereka yang tidak berbuat demikian.

Keputusan negatif

Sebahagian besar kajian terkini menunjukkan kaitan penggunaan minyak ikan dengan risiko penyakit jantung adalah negatif.

Dakwaan bahawa pengambilan minyak ikan secara kerap dapat membantu mencegah penyakit Alzheimer. Namun, kajian pada tahun 2010 mendapati minyak ikan dan plasebo tidak menunjukkan perbezaan dalam pencegahan penyakit Alzheimer. 

Kajian yang terbit dalam jurnal Neurology pada 2007 melaporkan bahawa makanan terdiri dari ikan, minyak omega-3, buah-buahan dan sayur-sayuran menurunkan risiko dementia dan Alzheimer. Pandangan penulis ialah makanan yang diambil bersifat holistik kerana ikan menyumbang protein, pelbagai vitamin dan mineral. Protein digunakan untuk bina enzim dan neurotransmitter. Antioksdian dari buah-buahan dan sayur-sayuran pula  mencegah oksidasi.

Kajian juga mendapati terdapat kaitan antara pengambilan minyak omega-3 dengan pencegahan kebutaan, membantu kesihatan janin (pembentukan kognitif dan motor), kurangkan kekerapan sawan babi dan kurangkan risiko skizoprenia/psikosis.

Sebagai penutup penulis berpendapat bahawa berdasarkan profil keselamatan minyak ikan yang setakat ini adalah cemerlang,  ia boleh digunakan untuk mencegah atau meredakan masalah kesihatan yang dialami oleh sebahagian individu (keberkesanan bergantung kepada pelbagai faktor misalnya metabolisme dan ekspresi gen) jika ia diambil pada sukatan yang betul di samping mengutamakan gaya hidup serta diet yang sesuai.

Bahrain Samah, md (am) RH (AH G), Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik.

-Sinarharian

Minyak zaitun menyihatkan

LEMAK dalam makanan sentiasa menjadi topik hangat dan kontroversi. Ramai bertelagah mengenai lemak haiwan, minyak bijirin dan minyak masak tropika. Namun, kebanyakan orang dikatakan bersetuju dengan manfaat sejenis minyak sayuran yang menyihatkan iaitu minyak zaitun super dara.

Penulis menterjemah minyak zaitun ekstra dara (MZED) dari istilah extra virgin olive oil. MZED dihasilkan menggunakan proses first cold pressed. Dalam bahasa mudah pertama kali merujuk kepada buah zaitun diperah pada peringkat paling awal pengekstrakan. Diperah merujuk kepada proses pengekstrakan menggunakan teknik pemerahan. Sejuk pula merujuk kepada buah zaitun yang diperah menggunakan suhu kurang daripada 28 darjah Celsius.

Dalam penulisan terdahulu penulis menggunakan istilah minyak zaitun perahan sejuk yang merujuk kepada MZED. Namun, panggilan ‘minyak zaitun perahan sejuk’ pada pandangan penulis lebih sedap bunyinya seperti yang digunakan dalam penulisan sebelum ini. Perahan bermaksud produk hasil pemerahan.

Adakah semua jenis minyak zaitun di pasaran serupa dari segi kualiti dan kandungan antioksidan dengan MZED? Terdapat tiga jenis minyak zaitun utama dalam pasaran iaitu MZED, minyak zaitun tulen (Pure Olive Oil, 95 peratus minyak zaitun terproses, 5 peratus MZSD) dan minyak zaitun terproses (refined, light atau extra light olive oil).

Perahan sejuk

Proses perahan sejuk pada kali pertama pengekstrakan menghasilkan MZED dengan paras antioksidan paling tinggi. MZED memiliki semua nutrien yang bermanfaat kepada kesihatan termasuk asid lemak mono tak tepu (asid oleik, omega-9), vitamin E, fitosterol (kawal kolesterol) dan sebatian berasaskan fenol (bersifat antioksidan).

Borges merupakan jenama minyak zaitun terkenal di Sepanyol. Namun penulis tidak bersetuju dengan kenyataannya yang percaya lemak tepu berbahaya. Lihat 5 Basic questions about extra virgin olive oil (EVOO) di http://worldwide.borges.es/blogpost/5-questions-about-extra-virgin-olive-oil/.        

Untuk pengetahuan pembaca budiman, penulis mengambil MZED jenama ini dan untuk memulihara kesihatan jantung dan hati sejak tiga dekad yang lalu kerana percaya kepada kualitinya yang tinggi.

MZED merupakan minyak zaitun paling tinggi kualitinya kerana ia diekstrak menggunakan kaedah perahan sejuk tanpa menggunakan bahan kimia demi memelihara ketulenan, kualiti rasa serta aroma. Menurut pakar-pakar minyak zaitun, MZED yang tinggi dengan kandungan antioksidan biasanya menyebabkan rasa pedar (rasa agak pijar) di bahagian belakang mulut yang hampir dengan tekak.

Untuk pengetahuan pembaca budiman, perahan sejuk kali kedua menghasilkan minyak zaitun dara baik (MZDB, Fine Virgin Olive Oil). Dari segi kualiti, ia yang kedua terbaik selepas MZED dari segi aroma dan sebatian-sebatian antioksidan.   

Minyak zaitun tulen dan terproses pula diesktrak menggunakan pelarut kimia, suhu tinggi atau digabungkan dengan minyak sayuran murah seperti minyak kacang soya dan kanola. Keamatan aroma dan rasa minyak zaitun tulen (regular) kurang berbanding MZED dan MZDB. Manakala aroma dan rasa minyak zaitun terproses biasanya paling rendah berbanding minyak zaitun tulen, MZED dan MZDB.

MZED berwarna hijau atau kuning kehijauan dikatakan berpunca daripada buah zaitun dituai pada awal musim menuai kerana tinggi dengan klorofil. Buah zaitun yang dituai pada penghujung musim tuaian menghasilkan minyak berwarna keemasan atau kuning.

Seperti dibincangkan di atas, minyak zaitun terbaik dari segi paras kandungan pelbagai fitokimia ialah MZED. Jadi, untuk mengelakkan daripada tertipu pengguna disarankan agar membeli MZED dari pengeluar yang memiliki reputasi yang baik. Ia bagi mengelakkan daripada membeli minyak zaitun yang didakwa sebagai MZED namun ia sebenarnya dicampur dengan minyak sayuran murah. Untuk mengetahui penipuan berkaitan pengeluaran minyak zaitun sila baca artikel berjudul Would the Real Olive Oil Please Stand Up? Di laman sawang Phoenix Helix.

Setiap 100 gram MZED mengandungi 13.8 peratus lemak tepu, 73 peratus lemak mono tak tepu (sebahagian besar terdiri dari asid oleik 18 karbon), omega-6 (asid lemak poli tak tepu) 9.7 peratus dan omega-3 0.36 peratus. Ia juga mengandungi vitamin E dan vitamin K masing-masing 72 dan 75 RDA (recommended daily allowance). 

Manfaat utama yang ditawarkan oleh MZED ialah kandungan fitokimia bersifat antioksidan berasaskan fenol yang aktif secara biologi dan sebahagian besar dikatakan boleh mencegah beberapa penyakit serius seperti pembentukan plak aterosklerosis, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.

Lihat kajian berjudul The phenolic compounds of olive oil: structure, biological activity and beneficial effects on human health yang terbit dalam jurnal Nutrition Research Reviews (2005).

Anti radikal bebas

Sebatian-sebatian berasaskan fenol yang utama dalam minyak zaitun iaitu oleuropein, hydroxytyrosol dan tyrosol didapati bersifat antioksidan serta menutralkan radikal bebas. Lihat kajian berjudul Major phenolic compounds in olive oil: metabolism and health effects dalam The Journal of Nutritional Biochemistry (2002).

Oleocanthal dan oleurepin merupakan dua antioksidan utama yang bersifat antiradang. Oleurepin dipercayai membantu menghalang LDL dari teroksida. Pada pandangan penulis oleurepin menghalang kolesterol dalam LDL daripada teroksida kepada oxysterol. Lihat kajian berjudul Phytochemistry: ibuprofen-like activity in extra-virgin olive oil dalam jurnal Nature (2005) dan Protective effect of oleuropein, an olive oil biophenol, on low density lipoprotein oxidizability in rabbits dalam jurnal Lipids (2000).

Sesetengah pihak berpendapat nisbah omega-6 dengan omega-3 adalah tinggi (melebihi 10:1). Mereka lupa bahawa jumlah asid lemak poli tak tepu adalah rendah secara relatif – tidak harus menimbulkan kebimbangan.

Keradangan kronik dipercayai punca kepada pelbagai penyakit seperti penyakit jantung koronari, kanser, sindrom metabolik, diabetes, Alzheimer dan artritis. Jadi, minyak zaitun yang kaya dengan fitokimia bersifat antiradang termasuk asid oleik yang memiliki sifat serupa mampu mengurangkan penanda keradangan C-Reactive Protein (CRP). Penurunan paras CRP dikatakan sebagai tanda penurunan kadar keradangan dalam tubuh.

Lihat kajian berjudul Dietary Factors That Promote or Retard Inflammation dalam jurnal Arteriosclerosis, Thrombosis and Vascular Biology (2006) dan Dietary intake of fatty acids and serum C-reactive protein in Japanese dalam Journal of Epidemiology (2007).


Bahrain Samah, MD (AM ) RH (AH G)
Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi
holistik. Buku: Kawal Berat Badan,V. Aromaterapi, Serangan Jantung,
Diabetes Jenis 2. Rawatan Dengan Herba - Cegah Demam & Flu

-Sinarharian

Ketidak suburan di kalangan lelaki

LAZIMNYA, setiap pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan pasti ingin menimang cahaya mata sebagai pengikat kasih sayang yang baru dibina. Begitu juga kepada pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga, keceriaan si kecil memecah kesunyian amat diimpikan.

Tidak semua pasangan memperoleh impian untuk menimang cahaya mata dengan mudah. Malah, ada yang mengambil pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat.

Kepada pasangan yang telah setahun berkahwin dan tidak mengambil sebarang pil pencegah kehamilan, ianya boleh ditakrifkan sebagai ketidaksuburan.  Penilaian dan rawatan awal diikuti dengan pemeriksaan fizikal terutama kategori umur di bawah 35 tahun amat digalakkan agar pihak perubatan mengetahui tahap kesihatan pasangan tersebut.

Ketidaksuburan lelaki

Isu ketidaksuburan berlaku kepada hampir 20% pasangan dan daripada jumlah tersebut 30%-40% berlaku ketidaksuburan berpunca daripada pasangan lelaki.

Adalah dianggarkan bahawa satu dalam 20 lelaki mempunyai beberapa jenis masalah kesuburan dengan jumlah kuantiti sperma yang kurang daripada air mani. Walau bagaimanapun, hanya satu dalam setiap 100 lelaki tidak mempunyai sperma dalam air mani dan keadaan ini dikenali sebagai azoospermia.

Mengenali tanda ketidaksuburan lelaki

Dalam kebanyakan kes, tiada tanda-tanda jelas untuk menunjukkan seseorang itu mengalami masalah ketidaksuburan. Pada kebiasaannya, hubungan ereksi dan ejakulasi biasanya akan berlaku dengan mudah dan penampilan serta kuantiti daripada air mani ejakulasi mungkin kelihatan normal dengan mata kasar.

Namun, ujian klinikal perlu dilakukan jika seorang lelaki itu tidak subur. Diagnosis boleh melibatkan rekod perubatan serta pemeriksaan fizikal bersama-sama dengan analisis contoh air mani. Hasil analisis jika menunjukkan tanda-tanda ketidaksuburan, pesakit akan dirujuk kepada pakar.

Punca ketidaksuburan lelaki berlaku

Antara faktor yang mempengaruhi ketidaksuburan lelaki berkemungkinan terjadi disebabkan berikut:
  • Crytorchidism (kegagalan zakar untuk berada dalam keadaan normal sejak kelahiran)
  • Kemoterapi atau sinaran radioterapi
  • Sejarah penyakit beguk
  • Pendedahan kepada bahan toksin
  • Pengangkutan sperma (Obstructive)
  • Pembedahan zakar
  • Pembaikan hernia
  • Kecacatan Reproduktif (ketiadaan vas deferens)
  • Persekitaran bekerja seperti racun perosak, logam berat, bahan kimia toksik dan radiasi
  • Terdapat kajian yang menunjukkan kesan merokok menyumbang kepada sperma yang kurang berkualiti. Kajian turut mendapati bahawa obesiti turut menjejaskan pengeluaran sperma yang berkualiti.
Pencegahan

Adalah lebih baik untuk tidak merokok, meminum alkohol berlebihan, jangkitan kelamin, tekanan haba dari seluar ketat dan steroid anabolik (diambil untuk membina badan atau tujuan sukan) kerana faktor-faktor ini boleh menjadi berbahaya kepada pengeluaran sperma.

Jika anda bekerja di dalam sektor yang boleh menjejaskan kesuburan anda, pakaian yang bersesuaian penting serta ikuti semua garis panduan kesihatan dan keselamatan. Ia adalah disyorkan kepada pasangan cuba untuk memiliki zuriat agar mengelak kepada pendedahan kepada bahan kimia mungkin berbahaya.

Rawatan

Teknologi bantuan reproduktif (ART) adalah antara kaedah rawatan saintifik untuk membantu pasangan yang ingin mempunyai zuriat termasuk rawatan IVF dan suntikan sperma (ICSI). ART tidak menyembuhkan atau merawat punca kemandulan tetapi membantu pasangan mencapai impian untuk hamil.

ART sering digunakan untuk membantu kesuburan. Pada asalnya, IVF telah dibangunkan sebagai teknik perubatan untuk mengatasi kemandulan wanita. Pada tahun 1993, pengenalan ICSI banyak membantu lelaki yang mempunyai jumlah bilangan  sperma yang rendah. Malah lelaki dengan kiraan sperma sifar juga boleh menghasilkan sperma dalam testis dengan kaedah ICSI.

Kaedah injeksi sperma (ICSI) ialah teknik baru yang direka untuk meningkatkan kadar persenyawaan. Selepas persenyawaan embrio yang terhasil, ianya dimasukkan semula ke dalam rahim wanita.

Kadar kehamilan untuk ICSI adalah sama dengan kaedah IVF standard dengan air mani normal. Kini, pasangan anda telah bersedia untuk menimang cahaya mata. Namun, kelancaran proses kehamilan pula bergantung kepada faktor-faktor lain seperti umur dan sistem kesihatan reproduktif wanita.

Semoga langkah-langkah tersebut dapat membantu anda mendapatkan zuriat yang diimpikan oleh setiap pasangan yang telah berkahwin.

Dr Mohan Raj, Perunding O & G Pakar Kesuburan Metro IVF, Klang, Selangor

-Sinarharian

Glaukoma membawa kepada penyakit buta

RAMAI yang tidak tahu mengenai gangguan penglihatan atau dalam kata saintifiknya Glaucoma / glaukoma. Glaukoma merupakan suatu kondisi yang membuat penderitanya mengalami simptom-simptom masalah penglihatan yang akhirnya membawa kepada penyakit buta.

Malah, menurut Badan Kesihatan Dunia PBB atau WHO, pesakit sendiri kadangkala tidak menyedari bahawa mereka menghidapi gejala-gejala glaukoma yang juga disebut pembuta senyap ini.

Ia merupakan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik iaitu laluan yang membawa imej ke otak. Sekiranya tidak dirawat penyakit ini akan merosakkan saraf optik, seterusnya menyebabkan hilang penglihatan.

Terdapat beberapa jenis glaukoma di mana sesetengahnya mungkin berlaku disebabkan komplikasi gangguan visual lain yang dipanggil glaukoma menengah tetapi majoriti adalah rendah, iaitu, ia berlaku tanpa sebab yang diketahui.

Adalah dipercayai bahawa punca kebanyakan atau semua glaukoma adalah tekanan tinggi dalam mata; dikenali sebagai tekanan intraokular atau singkatannya IOP; sama ada disebabkan oleh produksi cairan mata yang berlebihan, mahupun akibat terhalangnya saluran pembuangan cairan tersebut.

Tekanan ini dapat merosakkan serabut saraf retina atau jaringan saraf yang melapisi bahagian belakang mata dan saraf optik yang menghubungkan mata ke otak. Hingga kini, belum jelas mengapa berlakunya lebihan penghasilan cairan mata dan kenapa saluran pembuangan cairan tersebut boleh tersumbat.

WHO juga menyatakan bahawa glaukoma merupakan penyebab kebutaan kedua terbesar di seluruh dunia setelah katarak. Sumber http://www.worldglaucoma.org

Minggu Glaukoma Sedunia

World Glaucoma Week atau Minggu Glaukoma Sedunia adalah inisiatif bersama antara Persatuan Glaukoma Dunia dan Persatuan Pesakit Glaukoma Dunia yang disambut pada bulan Mac sejak tujuh tahun lalu.

Ia mempunyai rekod yang sangat berjaya untuk tempoh tujuh tahun berturut-turut di mana kebanyakan hospital di seluruh dunia akan mengadakan acara saringan di institusi dan hospital mereka.

World Glaucoma Week bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai gejala-gejala penglihatan serta menjawab persoalan orang ramai mengenainya.

Dianggarkan 4.5 juta orang di seluruh dunia yang buta kerana glaukoma 1 dan bilangan ini dijangka meningkat pada masa akan datang. Perlu diperhatikan bahawa sehingga 50 peratus pesakit yang tidak sedar mereka menghidapi glaukoma adalah mereka yang berada di negara-negara maju. Justeru jumlah pesakit dianggarkan meningkat kepada 90 peratus di negara-negara kurang maju di dunia.

Beberapa bentuk glaukoma boleh berlaku ketika lahir (kongenital) atau semasa bayi dan kanak-kanak (juvana); dalam kebanyakan kes bagaimanapun, glaukoma muncul selepas dekad ke-4 kitaran hidup manusia bergantung usia. Jenis-jenis yang paling biasa adalah Primary Open Angle. Glaucoma (POAG) - satu bentuk yang paling kerap dihidapi dalam pesakit Caucasian dan keturunan Afrika - dan Closure Glaucoma (ACG), dalam kalangan pesakit berketurunan Asia.

Sejarah Keluarga

Sebagai menyahut seruan World Glaucoma Week ini, WOW membawakan perbincangan secara terperinci mengenai glaukoma dan sambutannya di Malaysia.

Mungkin anda tidak sedar bahawa glaukoma terjadi secara perlahan-lahan malah tidak menyakitkan sehingga pesakit boleh hilang penglihatan tanpa disedari. Kerana itulah ia digelar pembuta senyap. Oleh itu adalah mustahak untuk melakukan saringan awal lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga berkaitan masalah mata.

Tujuan utama rawatan adalah untuk mendapatkan perubatan yang betul dan sempurna dalam usaha mengawal glaukoma.

Apakah glaukoma?

Glaukoma adalah satu keadaan di mana saraf optik rosak biasanya disebabkan oleh tekanan intraocular yang dibangkitkan. Pada skala global, keadaan ini adalah punca kedua kebutaan selepas katarak.

Tekanan intraocular adalah tekanan cecair di dalam mata, yang mengekalkan bentuk dan fungsi mata. Apa yang menyebabkan utama glaukoma sudut terbuka adalah sebahagian besarnya tidak diketahui tetapi kajian klinikal telah mendapati bahawa risiko glaukoma meningkat bagi warga tua, orang yang memiliki sightedness pendek serta pesakit yang mempunyai sejarah keluarga glaukoma.

Apakah tanda-tanda glaukoma?

Glaukoma sudut terbuka tidak mempunyai gejala sehingga ia mencapai peringkat akhir. Dalam glaukoma yang tidak dirawat, pesakit akan mengalami kehilangan penglihatan yang tidak dapat dipulihkan (penglihatan periferal). Penglihatan periferal adalah penting untuk penglihatan dan juga untuk navigasi. Seorang pesakit dengan kehilangan penglihatan periferal teruk akan mengalami kesukaran untuk melihat dalam gelap dan kadang-kadang boleh terlanggar perabot rumah. Jika bidang penglihatan cukup teruk, mereka mungkin dari segi undang-undang menjadi tidak berkelayakan untuk memandu kenderaan di jalan raya.

Bagaimana glaukoma didiagnosis?

Tidak ada satu ujian tunggal untuk mendiagnosis utama glaukoma sudut terbuka. Pakar mata bergantung kepada pemeriksaan saraf optik, penilaian tekanan intraocular dan ujian medan penglihatan untuk membuat keputusan sama ada pesakit mempunyai glaukoma. Teknologi pengimejan moden menggunakan kepaduan tomografi optik kini mampu untuk mendokumentasikan perkembangan glaukoma secara kuantitatif, yang tidak boleh didapati beberapa tahun yang lalu.

Rawatan glaukoma

Tiada penawar untuk glaukoma tetapi ada rawatan yang berkesan untuk melambatkan perkembangan penyakit. Rawatan utama menggunakan mata anti glaukoma untuk mengurangkan tekanan intraocular dalam mata. Hanya dalam kes-kes yang teruk, di mana titis mata sahaja tidak mencukupi untuk mengawal tekanan, pembedahan diperlukan. Pembedahan ini dipanggil trabeculectomy di mana bukaan kecil dibuat di bahagian putih mata untuk membolehkan cecair berlebihan di dalam mata dikeluarkan, sekali gus menurunkan tekanan mata. Dalam beberapa kes, tiub glaukoma saliran digunakan untuk mencapai mengawal perkembangannya.

Ringkasan

Ringkasnya, glaukoma adalah satu keadaan yang berbahaya dan berpotensi buta. Saya akan mengesyorkan pemeriksaan mata tahunan untuk sesiapa sahaja di usia atas 40 tahun yang mempunyai sejarah keluarga glaukoma. Adalah penting untuk mendapatkan nasihat ophthalmological awal jika terdapat syak wasangka daripada glaukoma sebagai langkah awal menyelamatkan penglihatan.

Dr Ong Chin Tuan MBChB(Hons) Aberdeen, MRCP(UK) MRCOphth FRCOphth
Ophthalmologist, Ophthalmic plastic, Lacrimal and Orbital surgeon
Beacon International Specialist Hospital

-Sinarharian